Sunday, January 31, 2010

MSS ZON 1

Pada 28 dan 29 Januari 2010 baru-baru ini, SK Kitou telah menghantar kontijen untuk mewakili sekolah bagi Majlis Sukan-sukan Zon 1 bagi daerah Tambunan. Kejohanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Daerah Tambunan ini disertai oleh lapan buah sekolah rendah, di mana SK. Kiawayan merupakan tuan rumah untuk temasya kali ini. Kontijen SK. Kitou telah membariskan seramai 18 orang atlit(lelaki dan perempuan), 24 orang peserta perbarisan(lelaki dan perempuan) serta guru-guru dan staf terlibat. Perasmian pembukaan kejohanan kali ini disempurnakan oleh Guru Besar SK. Kiawayan sendiri selaku tuan rumah.

Pada hari pertama kejohanan, kebanyakan acara yang dipertandingkan adalah acara-acara di peringkat saringan terutamanya bagi acara balapan. Dengan berbekalkan latihan yang telah dijalankan, beberapa peserta SK. Kitou berjaya melayakkan diri untuk berentap di peringkat akhir acara masing-masing. Lebih membanggakan, kutipan pingat sebanyak 2 emas berjaya dipungut oleh peserta Lompat Jauh lelaki dan Lari Berpagar 80m lelaki. Sesi pertama kejohanan diakhiri dengan raptai penuh untuk acara perasmian pembukaan pada esok hari.

Pada hari kedua(29 Januari), temasya dimulakan dengan acara pertandingan perbarisan di antara sekolah-sekolah yang bertanding. Kelapan-lapan kontijen berusaha menonjolkan kelainan masing-masing demi memikat hati juri. Seterusnya, perasmian pembukaan disempurnakan dengan jayanya oleh Pegawai Pelajaran Daerah Tambunan. Untuk hari kedua, agak mendukacitakan apabila para atlit SK. Kitou kurang menonjol dan gagal meraih pingat dalam beberapa acara yang dipertandingkan. Namun, dengan suntikan semangat dari Guru Besar dan guru-guru, pasukan 4X200m perempuan akhirnya menghadiahkan pingat perak bagi menambah koleksi pungutan pingat SK. Kitou. Sejurus selesai semua acara, sebagai selingan, acara tradisi iaitu 4X100m guru-guru pula dilangsungkan. SK. Kitou tidak ketinggalan untuk menghantar wakil iaitu 2 guru perempuan dan 2 guru lelaki untuk berentap. Bagaimanapun, kuartet SK. Kitou hanya berpuas hati pada kedudukan tempat ke-8.

Walaupun SK. Kitou hanya berpuas hati dengan 2 emas dan 1 perak, dan berada pada kedudukan ke-6, namun pujian harus diberikan di atas semangat yang diberikan. Tahniah diucapkan kepada para atlit yang bakal mewakili Zon 1 pada kejohanan antara zon-zon nanti.

"MAJULAH SUKAN UNTUK SK. KITOU"

No comments:

Post a Comment