Monday, March 22, 2010

MTQ(Majlis Tadarus Al-Qur'an) Peringkat Zon Pekan

Majlis Tadarus Al-Qur'an(MTQ) Antara Sekolah-Sekolah Rendah peringkat Zon Pekan Daerah Tambunan 2010 mengisi takwim aktiviti tahunan 2010 apabila berjaya disempurnakan pada 22 Mac 2010 bersamaan 06 Rabiul Akhir 1431M bertempat di SK. Pekan Tambunan. Acara yang dirasmikan oleh Ustaz Yasin Yunus, Pegawai Bahagian Pendidikan Islam & Moral, Pejabat Pendidikan Daerah Tambunan ini disertai sebanyak 8 buah sekolah termasuklah peserta-peserta yang mewakili SK. Kitou.

Pada tahun ini, sebanyak 4 kategori telah dipertandingkan iaitu Hafazan(Lelaki dan Perempuan), Tilawah Al-Qur'an(Lelaki dan Perempuan), Bercerita(Lelaki dan Perempuan) dan Nasyid. SK. Kitou telah menghantar wakil bagi pertandingan Bercerita kedua-dua kategori, manakala Hafazan untuk kategori lelaki sahaja. Pasukan SK. Kitou telah diiringi oleh Ustazah J Rohaya Fakharuddin dan Ustaz Abd. Razak Mohamed Talib.

Perjuangan wakil-wakil dari SK. Kitou nampaknya tidak sia-sia apabila berjaya meraih tempat dalam setiap pertandingan yang disertai. Bagi pertandingan Bercerita kategori perempuan, adik Norjilanirah Jonni berjaya mencuri tumpuan para pengadil dan menobatkan beliau di tempat ketiga. Tidak terkecuali, bagi kategori lelaki pula, adik Mohd. Ishaq Jonni tidak menghampakan pasukan SK. Kitou apabila mendapat tempat ketiga. Sementara itu, bagi pertandingan Hafazan kategori lelaki, adik Mohd. Hazid Hajiman pula meraih tempat kedua. Dengan kemenangan tersebut, SK. Kitou diletakkan di tempat ketiga secara keseluruhannya.

Tahniah diucapkan kepada para pemenang. Semoga SK. Kitou mampu meningkatkan kejayaan di tahun akan datang.

No comments:

Post a Comment