Tuesday, September 21, 2010

UPSR 2010

Selamat berjuang murid-murid Tahun 6 SK. Kitou. Mudah-mudahan sejarah bakal tercipta apabila keputusan diumumkan kelak!

All the besh & Good Luck!

21 hingga 23 September 2010.

Thursday, August 19, 2010

Tunas Gemilang

Demi memartabatkan bidang sukan di Malaysia, proses pencarian bakat-bakat baru bagi mencungkil atlit muda sering dianjurkan. SK. Kitou tidak terkecuali apabila terpilih antara tiga buah sekolah di seluruh Sabah yang menjadi medan pencarian Tunas Gemilang di bawah kelolaan Institut Sukan Negara(ISN). Program berlangsung selama sehari melibatkan murid-murid terpilih iaitu murid darjah 3,4, dan 5.

Program pencarian Tunas Gemilang ini telah dijalankan pada 9 Julai 2010 bertempat di padang sekolah SK. Kitou disaksikan oleh dua orang wakil dari ISN. Guru yang bertanggungjawab dalam program ini iaitu Puan Catherine Nourin telah mengetuai guru-guru yang lain menjadi petugas dalam setiap ujian yang dilakukan.

Dalam program ini, sebanyak 5 buah acara telah dijalankan iaitu lari ulang-alik 10 meter, lari pecut 20 meter, lompat jauh berdiri, lontar bola secara duduk, serta ujian larian mengikut ‘beep’. Amat menarik, beberapa murid dilihat mempunyai potensi untuk diketengahkan walaupun secara fizikal, mereka belum mencapai tahap memuaskan. Penyertaan amat memberangsangkan dan murid-murid nyata teruja dengan setiap acara yang dijalankan.

Majlis diakhiri dengan penyampaian sedikit saguhati kepada murid-murid yang terlibat. Selain itu, jamuan turut diadakan bagi meraikan kedatangan wakil ISN dan menghargai usaha para guru dan kakitangan yang terlibat. Semoga program ini akan terus dijalankan di SK. Kitou demi kemajuan bidang sukan di sekolah ini.

“Majulah Sukan Untuk SK. Kitou”

KEMPEN ANTI DADAH

Kempen Anti Dadah bukanlah sesuatu yang baru di kalangan masyarakat sekolah namun acap kali perkara ini dipandang remeh dan tidak diambil serius. Dadah merupakan musuh nombor satu kita kerana sekali terjebak dalam kancah tidak berfaedah ini, hidup boleh musnah dalam sekelip mata.

Berikutan itu, satu pertandingan Kempen Anti Dadah antara sekolah-sekolah diwujudkan bagi menyahut seruan dalam memerangi penyalahgunaan dadah di kalangan masyarakat. Perkara ini juga penting bagi memberi amaran awal kepada murid-murid akan bahana dadah serta menyedarkan mereka sedari awal.

SK. Kitou tidak terkecuali dan turut serta dalam kempen yang bakal berlangsung mulai 12 Julai 2010 ini. Pengadilan akan dijalankan dari sekolah ke sekolah bagi memilih pemenang. Guru Pemulihan SK. Kitou, Encik Mohd. Farid Bin Abdullah telah dipertanggungjawabkan untuk penyertaan sekolah pada kali ini. Beliau telah bertungkus-lumus menyediakan dan menyiapkan bahan-bahan pameran bagi merealisasikan matlamat kempen tersebut.





Wednesday, June 2, 2010

cuti

SELAMAT
BERCUTI!!!

Wednesday, May 12, 2010

Menjelang Peperiksaan Semester 1

Tidak lama lagi, Peperiksaan Semester 1 bakal berlangsung iaitu pada 17 hingga 21 Mei 2010. Sebagai persiapan untuk menghadapi peperiksaan tersebut, Ujian Lisan sedang dijalankan kepada semua pelajar dari tahun 1 sehingga tahun 6 selama dua hari iaitu pada 13 Mei 2010 dan 14 Mei 2010.

Jadi, kepada semua pelajar, selamat menempuh Peperiksaan Semester 1! Diharapkan pelajar-pelajar akan menjawab bersungguh-sungguh.

Tuesday, May 4, 2010

Bengkel Pembinaan Blog

Salam 1 Malaysia,

Seiring matlamat kerajaan untuk menjadikan teknologi sebagai medium terpenting dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran, satu bengkel Pembinaan Blog telah dianjurkan pada 26 April 2010 lalu, bertempat di Pusat Kegiatan Guru(PKG), Tambunan bermula 7.30 pagi sehingaa 4.30 petang. Bagaimanapun, bengkel ini cuma melibatkan guru-guru Pendidikan Islam zon Pekan sahaja atas pembiayaan sendiri guru-guru tersebut. Selain itu, tiga orang Fasilitator Schoolnet(FS) yang masing-masing ditempatkan di sekolah SK. Kitou, SRK. ST. Theresa dan SK. Pekan ditugaskan untuk menjadi fasilitator untuk bengkel tersebut. Mereka terdiri daripada Constantine Vitus(FS SK. Pekan) sebagai ketua, Mark Micheal(FS SRK. ST. Theresa) dan Georgie Joseph(FS SK. Kitou).

Bengkel pada hari tersebut dibahagikan kepada dua sesi dan dimulakan dengan topik "Pengenalan dan Kepentingan Blog" oleh FS Constantine Vitus. Peserta didedahkan kepada asas-asas yang perlu ada seperti tujuan blog, jenis blog, kepentingan blog dan beberapa perkara yang perlu untuk diketahui. Kemudian sesi berehat sebentar bagi menikmati juadah pagi dan seterusnya disambung kembali untuk sesi kedua. Sesi kedua adalah sesi amali di mana peserta masing-masing dikehendaki membina blog masing-masing berdasarkan arahan dari fasilitator. Sesi ini amat menarik kerana di sinilah peserta boleh mengutarakan soalan-soalan malah mendapat tunjuk ajar sepenuhnya bagi asas-asas untuk membina blog.

Bengkel tersebut tidak sia-sia kerana peserta amat memberikan kerjasama malahan mereka juga sudah mampu untuk mereka dan membina sendiri blog berdasarkan apa yang telah diajar. Sesi ditamatkan dengan majlis penutupan yang dirasmikan oleh Ustaz Yasin Yunus, Pegawai Bahagian Pendidikan Islam & Moral, Pejabat Pendidikan Daerah Tambunan diikuti dengan penyampaian sijil untuk para fasilitator dan juga peserta.

Wednesday, April 28, 2010

Pertandingan Karaoke

Demi mencungkil dan mengetengahkan bakat-bakat terpendam, satu pertandingan nyanyian oleh Panitia Muzik telah diadakan pada 23 April lalu bertempat di bilik darjah 6. Sebelum itu, pemilihan secara tertutup telah dibuat oleh Ketua Panitia Muzik, Encik Alexius Kaunsing dan memutuskan beberapa peserta untuk bertanding pada peringkat akhir. Sambutan agak menggalakkan dari para murid namun hanya beberapa peserta yang layak ke final.

Pertandingan akhir terbahagi kepada dua kategori iaitu Kategori Tahap Satu dan Kategori Tahap Dua. Seramai 6 peserta bertanding bagi kategori tahap satu manakala 7 peserta untuk kategori tahap dua. Masing-masing berjaya mempamerkan persembahan yang agak bagus dan ada sesetengah peserta yang berjaya menunjukkan keunikan masing-masing sama ada dari segi vokal mahupun tarian.

Pengadil pada hari tersebut terdiri daripada 3 orang yang masing-masing mengadili bahagian vokal(20%), tempo(40%) dan gaya persembahan(40%). Mereka terdiri daripada Puan Helvy Joseph, Encik Edwin Ebin selaku ketua pengadil dan Encik Georgie Joseph.

Bagaimanapun, keputusan hanya akan diumumkan dalam masa terdekat. Tahniah kepada panitia Muzik kerana berjaya menganjurkan aktiviti tersebut dan diharapkan agar lebih aktiviti akan dijalankan pada masa hadapan.



Beberapa peserta yang bertanding.



Para pengadil.


Para penonton dihiburkan tarian pembukaan.


Monday, March 22, 2010

MTQ(Majlis Tadarus Al-Qur'an) Peringkat Zon Pekan

Majlis Tadarus Al-Qur'an(MTQ) Antara Sekolah-Sekolah Rendah peringkat Zon Pekan Daerah Tambunan 2010 mengisi takwim aktiviti tahunan 2010 apabila berjaya disempurnakan pada 22 Mac 2010 bersamaan 06 Rabiul Akhir 1431M bertempat di SK. Pekan Tambunan. Acara yang dirasmikan oleh Ustaz Yasin Yunus, Pegawai Bahagian Pendidikan Islam & Moral, Pejabat Pendidikan Daerah Tambunan ini disertai sebanyak 8 buah sekolah termasuklah peserta-peserta yang mewakili SK. Kitou.

Pada tahun ini, sebanyak 4 kategori telah dipertandingkan iaitu Hafazan(Lelaki dan Perempuan), Tilawah Al-Qur'an(Lelaki dan Perempuan), Bercerita(Lelaki dan Perempuan) dan Nasyid. SK. Kitou telah menghantar wakil bagi pertandingan Bercerita kedua-dua kategori, manakala Hafazan untuk kategori lelaki sahaja. Pasukan SK. Kitou telah diiringi oleh Ustazah J Rohaya Fakharuddin dan Ustaz Abd. Razak Mohamed Talib.

Perjuangan wakil-wakil dari SK. Kitou nampaknya tidak sia-sia apabila berjaya meraih tempat dalam setiap pertandingan yang disertai. Bagi pertandingan Bercerita kategori perempuan, adik Norjilanirah Jonni berjaya mencuri tumpuan para pengadil dan menobatkan beliau di tempat ketiga. Tidak terkecuali, bagi kategori lelaki pula, adik Mohd. Ishaq Jonni tidak menghampakan pasukan SK. Kitou apabila mendapat tempat ketiga. Sementara itu, bagi pertandingan Hafazan kategori lelaki, adik Mohd. Hazid Hajiman pula meraih tempat kedua. Dengan kemenangan tersebut, SK. Kitou diletakkan di tempat ketiga secara keseluruhannya.

Tahniah diucapkan kepada para pemenang. Semoga SK. Kitou mampu meningkatkan kejayaan di tahun akan datang.

Sunday, January 31, 2010

MSS ZON 1

Pada 28 dan 29 Januari 2010 baru-baru ini, SK Kitou telah menghantar kontijen untuk mewakili sekolah bagi Majlis Sukan-sukan Zon 1 bagi daerah Tambunan. Kejohanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Daerah Tambunan ini disertai oleh lapan buah sekolah rendah, di mana SK. Kiawayan merupakan tuan rumah untuk temasya kali ini. Kontijen SK. Kitou telah membariskan seramai 18 orang atlit(lelaki dan perempuan), 24 orang peserta perbarisan(lelaki dan perempuan) serta guru-guru dan staf terlibat. Perasmian pembukaan kejohanan kali ini disempurnakan oleh Guru Besar SK. Kiawayan sendiri selaku tuan rumah.

Pada hari pertama kejohanan, kebanyakan acara yang dipertandingkan adalah acara-acara di peringkat saringan terutamanya bagi acara balapan. Dengan berbekalkan latihan yang telah dijalankan, beberapa peserta SK. Kitou berjaya melayakkan diri untuk berentap di peringkat akhir acara masing-masing. Lebih membanggakan, kutipan pingat sebanyak 2 emas berjaya dipungut oleh peserta Lompat Jauh lelaki dan Lari Berpagar 80m lelaki. Sesi pertama kejohanan diakhiri dengan raptai penuh untuk acara perasmian pembukaan pada esok hari.

Pada hari kedua(29 Januari), temasya dimulakan dengan acara pertandingan perbarisan di antara sekolah-sekolah yang bertanding. Kelapan-lapan kontijen berusaha menonjolkan kelainan masing-masing demi memikat hati juri. Seterusnya, perasmian pembukaan disempurnakan dengan jayanya oleh Pegawai Pelajaran Daerah Tambunan. Untuk hari kedua, agak mendukacitakan apabila para atlit SK. Kitou kurang menonjol dan gagal meraih pingat dalam beberapa acara yang dipertandingkan. Namun, dengan suntikan semangat dari Guru Besar dan guru-guru, pasukan 4X200m perempuan akhirnya menghadiahkan pingat perak bagi menambah koleksi pungutan pingat SK. Kitou. Sejurus selesai semua acara, sebagai selingan, acara tradisi iaitu 4X100m guru-guru pula dilangsungkan. SK. Kitou tidak ketinggalan untuk menghantar wakil iaitu 2 guru perempuan dan 2 guru lelaki untuk berentap. Bagaimanapun, kuartet SK. Kitou hanya berpuas hati pada kedudukan tempat ke-8.

Walaupun SK. Kitou hanya berpuas hati dengan 2 emas dan 1 perak, dan berada pada kedudukan ke-6, namun pujian harus diberikan di atas semangat yang diberikan. Tahniah diucapkan kepada para atlit yang bakal mewakili Zon 1 pada kejohanan antara zon-zon nanti.

"MAJULAH SUKAN UNTUK SK. KITOU"